Ke hadapan para pembaca,
Sebagai Jurulatih Kesihatan Mental Naluri dan Pakar Psikologi Klinikal, saya berpeluang untuk mendampingi klien-klien saya dalam saat-saat mereka paling lemah dan terdedah, atau rentan. Sepanjang perbualan ini, satu persoalan sering terlintas dalam fikiran saya: Apa yang saya harap lebih ramai orang tahu tentang kesihatan mental? Saya selalu tertanya-tanya apa yang boleh memudahkan perjalanan mereka, menjadikan bahu mereka merasa sedikit lebih ringan dan kurang terasa terasing. Dan kini, menjelang Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024, persoalan ini terasa semakin penting untuk diperhalusi.
Kesihatan mental adalah sesuatu yang kita semua miliki, namun bagi ramai di antara kita, ia terbungkus dalam keheningan, sering disalahfahami, atau diketepikan. Kita hidup dalam dunia yang mudah menerima kepentingan menjaga tubuh fizikal kita, tetapi ragu-ragu apabila menyentuh soal kesejahteraan mental. Namun, kesihatan mental adalah teras sebenar diri kita—ia membentuk pemikiran, emosi, dan cara kita menghayati setiap hari dalam kehidupan kita.
Tahun ini, tema kempen Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Naluri adalah "Apa Yang Saya Harap Anda Tahu." Ia merupakan satu jemputan yang tegas dan peringatan untuk kita merenung, membuka minda, dan memulakan perbualan ke arah perubahan. Jadi hari ini, saya menulis surat terbuka ini untuk berkongsi apa yang saya harap lebih ramai orang tahu tentang kesihatan mental—inilah kebenaran yang boleh membantu anda menjalani kehidupan yang lebih penuh kasih sayang, lebih erat dengan orang sekeliling, dan lebih sihat.
Apa yang saya harap anda tahu…
Kesihatan mental adalah kesihatan
Saya harap orang ramai sedar bahawa kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Kita sering bercakap tentang menjaga tubuh—makan dengan baik, bersenam, berehat—tetapi berapa kerap kita memberi perhatian yang sama kepada minda kita? Kesihatan mental kita mempengaruhi segala yang kita lakukan: hubungan yang kita bina, tekanan yang kita tanggung, malah tenaga yang kita rasakan setiap kali bangun pagi. Apabila kita mengabaikan kesihatan mental, ia umpama mengabaikan asas sebuah rumah dan berharap ia tidak akan retak di bawah tekanan. Kesihatan mental layak diberi perhatian yang sama seperti kesihatan fizikal, dan itulah sebabnya bercakap tentang kesihatan mental secara terbuka, tanpa rasa takut, adalah amat penting.
Kesihatan mental bukan sekadar di kepala anda
Kesihatan mental bukanlah sesuatu yang abstrak dan hanya wujud dalam minda kita; ia mempengaruhi setiap aspek kehidupan kita. Ia wujud dalam cara kita berinteraksi dengan orang lain, cara kita mengatasi kekecewaan, atau bagaimana kita menghadapi situasi yang sukar. Apabila seseorang bergelut dengan kesihatan mental mereka, ia bukanlah sesuatu yang "sekadar dalam kepala"—ia adalah sesuatu yang melibatkan seluruh tubuh badan dan kehidupan. Kesihatan mental mempengaruhi tenaga, motivasi, malah kesejahteraan fizikal kita. Kita perlu berhenti melihat masalah kesihatan mental sebagai sesuatu yang tidak kelihatan atau kurang penting—ia sama nyata dan penting seperti sebarang keadaan fizikal.
Masalah kesihatan mental bukanlah suatu kelemahan
Jika ada satu mesej yang saya harap dapat saya sampaikan, inilah dia: Masalah kesihatan mental bukanlah cerminan kekuatan atau nilai diri anda. Kita tidak menyalahkan seseorang kerana terkena selesema atau patah tulang, jadi mengapa kita menyalahkan diri sendiri kerana merasa cemas, murung, atau terbeban? Cabaran kesihatan mental bukanlah satu kegagalan peribadi. Ia adalah sebahagian daripada pengalaman manusia, yang sering berpunca daripada gabungan faktor genetik, biologi, dan persekitaran yang kompleks. Anda tidak lemah kerana menghadapi masalah kesihatan mental. Anda berani kerana menghadapinya, hari demi hari, saat demi saat.
Terapi bukan hanya untuk waktu krisis
Satu salah tanggapan yang sudah menjadi kebiasaan adalah bahawa terapi hanya diperlukan apabila kita sudah mencapai titik terendah. Namun, terapi bukan sekadar untuk saat-saat kecemasan—ia adalah ruang untuk pertumbuhan, pemuhasabahan, dan pencegahan. Anda tidak perlu menunggu sehingga hidup terasa tidak terkawal untuk mendapatkan bantuan. Ini adalah metafora yang sering saya kongsikan dengan klien saya: bayangkan pergi kaunseling atau terapi seperti mengubahsuai sebuah rumah. Masa terbaik untuk membuat penambahbaikan bukanlah apabila ia sedang terbakar, tetapi ketika anda boleh merancang dan memperbaikinya secara bijaksana. Begitu juga, menangani isu-isu kesihatan mental ketika anda dalam keadaan baik dapat membina daya tahan dan mempertingkatkan gaya hidup anda. Justeru, membantu anda menghadapi cabaran masa depan dengan lebih mudah.
Anda tidak perlu memahami sepenuhnya untuk memberikan sokongan
Kepada anda yang membantu orang lain yang menghadapi masalah kesihatan mental, saya panjangkan penghargaan kepada anda. Mungkin anda adalah ahli keluarga atau rakan kepada seseorang yang telah melalui masa-masa sukar dalam hidup mereka, mungkin anda seorang penyelia di tempat kerja yang berusaha memberi dorongan kepada anggota pasukan anda yang anda tahu sedang menghadapi cabaran, atau mungkin anda adalah orang biasa yang tidak menghukum seseorang yang kelihatan berbeza daripada persekitarannya, atau mungkin anda adalah seorang profesional kesihatan mental yang meragui diri anda sendiri sama ada anda memberikan sokongan yang cukup kepada klien anda. Siapa pun anda, saya mengucapkan terima kasih kerana atas usaha anda. Walaupun anda tidak sepenuhnya memahami pengalaman mereka, hanya dengan menghadirkan diri—mendengar tanpa menghukum, memberikan ketenangan, atau sekadar berkata “Saya di sini dengan awak”—adalah lebih berkuasa daripada yang anda rasa. Anda tidak perlu menyelesaikan segala masalah mereka. Kadang-kadang, kehadiran anda sahaja sudah mencukupi.
Terdapat banyak jalan kepada penyembuhan
Jika anda seorang pejuang kesihatan mental, saya ingin anda tahu bahawa tiada satu cara yang "betul" untuk mendapatkan bantuan. Sama ada bercakap dengan rakan yang dipercayai, mencuba strategi sokongan diri, menyertai kumpulan sokongan, atau berjumpa dengan seorang ahli terapi, setiap langkah yang anda ambil untuk penjagaan kesihatan mental anda adalah langkah ke arah yang betul. Jalan kepada penyembuhan bukanlah satu jalan yang lurus, tiada satu jalan tunggal ke hadapan—apa yang penting adalah anda mengambil langkah pertama. Dan jika anda membaca warta ini, mungkin langkah tersebut lebih dekat daripada yang anda sangka.
Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024
Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 ini, marilah kita berusaha menjadikan kesihatan mental sebagai perbualan yang selamat dan selesa untuk semua orang yang sedang menghadapinya. Sudah tiba masanya untuk memecahkan stigma yang mengaitkan pencarian bantuan dengan kelemahan, dan mengakui bahawa berani meminta bantuan adalah tanda kekuatan sebenar.
Itulah dunia yang saya harapkan untuk anda. Dan ia bermula dengan satu langkah mudah: bercakap secara terbuka tentang apa yang anda harap orang lain tahu.
Jika mana-mana kata-kata ini memberi makna kepada anda, saya menggalakkan anda untuk mengambil Penilaian Kesejahteraan Emosional Naluri hari ini. Ia adalah penilaian percuma dan ringkas yang hanya mengambil masa lima minit tetapi boleh menjadi langkah pertama untuk memahami kesihatan mental anda dengan lebih baik. Kadang-kadang, bahagian yang paling sukar adalah mengetahui di mana untuk bermula—mungkin inilah permulaan tersebut.
Marilah sama-sama kita jadikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 ini sebagai permulaan sesuatu yang baharu—membuka pintu kepada kesefahaman, kasih sayang, dan, yang paling penting, penyembuhan. Ingatlah, anda tidak bersendirian dalam perjalanan ini.
Yang benar,
Sri Wulandari
(Pakar Psikologi Klinikal, Pembimbing Kesihatan Mental Naluri)
Sri Wulandari, M.Sc., M.Psi., Psikologi, adalah seorang pakar psikologi klinikal dan Pembimbing Kesihatan Mental Naluri yang bersemangat untuk membantu orang ramai memecahkan stigma yang meng elilingi kesihatan mental. Kerja beliau memberi tumpuan kepada terapi berdasarkan bukti, seperti Terapi Kognitif Tingkah Laku (CBT), yang digunakannya untuk membimbing individu menghadapi cabaran hidup—daripada masalah kebimbangan dan kemurungan hinggalah kelelahan dan pengurusan tekanan. Dalam peranannya sebagai Jurulatih Kesihatan Mental Naluri, beliau membantu mengintegrasikan sokongan kesihatan mental ke dalam kehidupan seharian, sekaligus memberdayakan mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih seimbang dan memuaskan.