Skip to content
Smart Budgeting (1)-3
Naluri5 min read

Bagaimana Menetapkan dan Mencapai Matlamat Kewangan Anda

Adakah anda mendapati anda hidup bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang? Atau mungkin anda dibanjiri tekanan yang berterusan dalam menguruskan kewangan anda?

Jika anda mengalami sebarang perasaan ini, jangan risau; anda tidak bersendirian. Walaupun menguruskan kewangan mungkin agak menggerunkan, terutama dengan faktor-faktor penyumbang seperti inflasi dan kegawatan ekonomi, menetapkan matlamat kewangan boleh memastikan anda berada di landasan menuju ke arah masa hadapan kewangan yang cerah.

Dalam artikel ini, kita akan meneroka kepentingan matlamat kewangan, menunjukkan contoh-contoh dan bagaimana anda boleh memastikan anda bukan sahaja menetapkan matlamat ini malah juga mencapainya!

 

Mengapa matlamat kewangan penting

Matlamat kewangan ringkasnya adalah rancangan anda untuk menetapkan wang anda. Seperti banyak lagi aspek kehidupan, menetapkan sasaran sentiasa bagus bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan anda secara keseluruhan.

Anda mungkin tahu mengapa kesihatan kewangan anda penting, tetapi mengapakah matlamat kewangan penting? Berikut adalah beberapa sebab:

Membantu anda kekal fokus dan bermotivasi

Mempunyai matlamat yang boleh dilihat memberikan motivasi yang berterusan, terutama sekali ketika masa-masa yang mencabar. Memahami apa yang anda usahakan membantu anda kekal di landasan dan melihat cahaya di hujung terowong. Sama ada ia ke arah meletakkan wang muka pada rumah atau membayar percutian idaman, mempunyai matlamat di minda boleh membantu anda mengekalkan fokus dan tekad untuk mencapainya.

Memberikan kejelasan dan arah tuju

Matlamat kewangan kerap memberikan kejelasan, menawarkan visi yang tepat berkenaan apa yang anda ingin capai dan bagaimana untuk mencapainya. Ini kerana matlamat memerlukan perancangan yang cekap, pengutamaan tugasan, dan organisasi yang lebih baik, pada akhirnya menyusun perjalanan kewangan anda. Apabila anda mempunyai hasil yang jelas di minda, anda akan menjadi lebih bersedia untuk mengatasi selok belok perjalanan kewangan anda.

Membantu anda menjangka cabaran

Menetapkan matlamat kewangan mendorong anda berfikiran jauh dan meramalkan rintangan yang akan datang. Pendekatan proaktif ini meningkatkan peluang anda berjaya dengan membolehkan anda menangani cabaran sebelum ia menjadi terlalu sukar. Sama ada perbelanjaan yang tidak dijangka atau pengurangan pendapatan, mempunyai rancangan yang tersedia boleh membantu anda mengahdapi  kesukaran tersebut.

 

Contoh-contoh matlamat kewangan

Sekarang anda sudah tahu mengapa matlamat kewangan penting, kami telah mengumpulkan beberapa contoh matlamat kewangan dan tips untuk anda mencapainya:

  • Membuat belanjawan bulanan

Satu matlamat kewangan anda boleh tetapkan adalah membuat belanjawan bulanan. Belanjawan ini akan membantu anda merancang bagaimana anda akan membelanjakan wang anda setiap bulan dan mengenalpasti bahagian-bahagian yang anda boleh kurangkan dalam perbelanjaan. Dengan membuat belanjawan ini, anda boleh memastikan anda tidak terlebih berbelanja di mana-mana aspek, agihkan wang anda dengan bijak dan bersikap konsisten dalam simpanan anda.

  • Membayar hutang

Jika anda mempunyai hutang yang perlu dibayar, ini boleh mengelakkan anda daripada mencapai matlamat-matlamat kewangan lain. Mungkin ada yang akan dapat menyelesaikannya dalam sekali harung, tetapi orang lain mungkin perlu membayarnya beransur-ansur. Apa sahaja yang paling sesuai untuk situasi anda, menetapkan matlamat ini akan membantu anda mula mengawal kewangan anda, keluar daripada hutang dan kekal tidak berhutang!

  • Bina dana kecemasan anda

Kecemasan boleh berlaku bila-bila masa, dan dana kecemasan boleh membantu anda mengendalikan perbelanjaan yang  tidak dijangka tanpa perlu berhutang. Penasihat Kewangan Naluri mengesyorkan menyimpan sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan perbelanjaan kehidupan sebagai dana kecemasan. Ini akan membantu anda apabila berhadapan perbelanjaan tidak dijangka seperti bil perubatan, kehilangan pekerjaan atau bil pembaikan kereta. 

  • Mula menyimpan untuk persaraan

Semakin awal anda mula menyimpan untuk persaraan, lebih banyak masa wang anda ada untuk berkembang. Menetapkan matlamat untuk menyimpan sejumlah wang setiap bulan atau setiap tahun akan dapat membantu anda membina simpanan yang akan memberikan anda keselamatan kewangan ketika usia tua. Tonton webinar oleh Penasihat Kewangan Naluri Stephen dimana dia mengongsikan bagaimana anda dapat mula bersedia untuk persaraan tanpa tekanan.

  • Beli rumah atau kereta

Jika anda mahu membuat pembelian besar, seperti rumah atau kereta, menetapkan matlamat kewangan boleh membantu anda menyimpan wang yang anda perlukan. Mempunyai objektif yang jelas akan membantu anda menyediakan arah tuju dan motivasi, seperti menyimpan peratusan khusus daripada nilai rumah atau menetapkan jangka masa untuk pembelian kereta.

 

5 langkah untuk menetapkan dan mencapai matlamat kewangan anda

Untuk mengaplikasikan teori ke dalam penerapan, ini adalah lima langkah anda boleh ambil untuk bukan sahaja menetapkan matlamat kewangan malah memastikan anda mencapainya!

1. Menilai situasi kewangan semasa anda

Sebelum menetapkan matlamat anda, adalah penting untuk anda memahami di mana anda berada dari segi kewangan. Lihat pendapatan, perbelanjaan, aset dan liabiliti anda dengan teliti untuk mendapatkan gambaran yang jelas bagi kesihatan kewangan anda. Selepas anda melakukannya, anda boleh mengenalpasti kekuatan anda dan menyasarkan aspek-aspek di mana pengubahsuaian boleh dibuat untuk peningkatan kecekapan kewangan. Dengan mengenali diri sendiri tentang kedudukan kewangan anda, anda boleh membina asas untuk menetapkan matlamat yang berkesan dan merancang kewangan yang strategik.

2. Mengetahui nilai dan keutamaan diri anda

Sebelum menetapkan matlamat kewangan anda, mengetahui apa yang benar-benar penting pada anda adalah sangat penting. Ambil masa untuk mencari nilai dan keutamaan anda. Adakah anda menyimpan untuk wang muka bagi membeli rumah? Merancang percutian besar? Menyokong pendidikan orang tersayang? Mengetahui apakah yang benar-benar penting bagi anda akan membantu anda menetapkan matlamat kewangan yang penuh bermakna dan bermotivasi.

3. Tetapkan  matlamat kewangan anda

Langkah seterusnya adalah mengenalpasti apakah matlamat kewangan anda. Gunakan rangka kerja SMART untuk memastikan matlamat anda adalah Specific, Measurable, Achievable, Relevant dan Time-bound. Sebagai contoh, daripada meletakkan matlamat kurang jelas seperti ‘menyimpan wang’, pecahkannya kepada langkah-langkah yang jelas dan boleh dilaksanakan seperti ‘Simpan USD10,000 sebagai bayaran muka untuk rumah dalam dua tahun’. Ini boleh membantu anda kekal fokus dan bermotivasi.

4. Cipta rancangan untuk mencapai matlamat anda

Apabila anda telah mengenalpasti matlamat kewangan anda, masa untuk merancang! Pecahkan matlamat anda kepada tindakan-tindakan yang lebih kecil dan boleh dilaksanakan dan membuat garis masa untuk setiap langkah. Sebagai contoh, jika matlamat anda adalah menyimpan USD10,000 dalam 3 tahun untuk bayaran muka rumah, anda perlu menyimpan lebih kurang USD280 sebulan selama 36 bulan. Mempunyai rancangan yang realistik dan boleh dicapai akan membantu anda kekal konsisten untuk mencapai matlamat anda.

Tidak pasti bagaimana untuk merancang matlamat kewangan anda? Berbual dengan Penasihat Kewangan Naluri atau tempah khidmat nasihat bagi mendapat bimbingan dan sokongan pakar untuk membantu anda mencapai matlamat kewangan anda.

5. Menjejaki perkembangan anda dan kekal bermotivasi

Apabila anda ada perancangan, langkah terakhir adalah menjejaki perkembangan anda dan kekal bermotivasi. Kunci untuk kekal di landasan yang betul adalah kerap menyemak kemajuan anda dan membuat perubahan kepada rancangan anda, jika perlu. Gunakan perkakas-perkakas seperti aplikasi belanjawan, hamparan kewangan, atau perisian penjejak matlamat untuk membantu anda kekal teratur. Selain itu, jangan lupa menyambut kejayaan anda sepanjang perjalanan anda, dan kekalkan motivasi anda dengan membayangkan kelebihan mencapai matlamat anda.Pemahaman Wang: Strategi Belanjawan Pintar

 

Kesimpulannya, menetapkan dan mencapai matlamat kewangan anda mungkin mengambil sejumlah masa dan usaha yang panjang, tetapi ia akan berbaloi. Dengan rancangan yang teguh, anda boleh mengawal kewangan anda dan mencapai masa hadapan kewangan yang sihat.

Bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam perjalanan kewangan anda? Tonton rakaman webinar Pemahaman Wang: Strategi Belanjawan Pintar
untuk mendengar daripada Penasihat Kewangan Naluri, Stephen Yong di mana beliau meneroka strategi berbelanjawan pintar dan mendapatkan pendapat yang akan membantu mencapai kejayaan kewangan.

You may also like